Saturday, August 11, 2012

Alangkah indah jika aku berada di syurga!

Semakin hampir kepada masa itu, semakin berdebar-debar hatiku. Ya, belum pernah memberi tazkirah kepada penonton kesemuanya perempuan. Menunggu-nunggu saat menyampaikan sebahagian ilmu yang ada di dalam dadaku kepada penghuni-penghuni Rumah Puteri Arafiah ini sangat mencabar. Memikirkan bulan ini adalah Bulan Ramadhan maka aku terima dengan hati yang terbuka dengan niat ingin mencabar kebolehan diri sendiri memberikan tazkirah kepada golongan perempuan pula. Kebun-kebun pahala ini menunggu untuk disemai dengan biji benih-biji benih pahala yang menumbuhkan pohon-pohon di syurga nanti. Memang sah! Aku tak boleh menolak tawaran ini. Kebun-kebun pahala menanti aku untuk menyemai biji benih pahala-pahala, supaya bertambah berganda-ganda. Tambahan aku berada di dalama bulan Ramadhan mulia, semoga segala amalan aku diterima-Nya.

Bahagian yang paling mencabar adalah menyediakan teks tazkirah supaya aku mempunyai bahan yang sesuai untuk disampaikan kepada remaja-remaja puteri ini. Tajuk yang aku pilih adalah 'Syurga yang dirindui'. Objektifnya sangat jelas, iaitu memberitahu kepada para remaja puteri ini perubahan boleh berlaku dari tak baik kepada baik walaupun kita dahulu orang yang banyak berbuat dosa.

Bismillah, pertama-tama sekali marilah kita melihat apakah itu tingkat-tingkat syurga yang ada di akhirat sana nanti. Syurga yang pertama dan yang paling atas sekali adalah syurga Firdaus. Syurga ini adalah khusus untuk orang yang khusyuk di dalam solat mereka, orang yang menjaga kemaluan kecuali kecuali kepada isteri dan hamba sahaya, orang yang tidak menggunakan masa mereka untuk perkara yang sia-sia, orang menunaikan zakat, orang yang menjaga amanah dan orang yang menepati janji mereka. Begitulah lima ciri-ciri yang Allah gariskan di dalm surah al Mukminun. Baki 6 tingkat syurga yang lain adalah syurga 'Adn, syurga Naim, syurga al Ma'wa, syurga Dar as-Salam, syurga Dar al Yaumud, syurga Yamud dan syurga al-Khuld.

Kemudian mari kita lihat apakah amalan-amalan yang melayakkan seseorang menjadi ahli syurga. Ya selain dari amalan yang 5 tadi, antara amalannya adalah menunaikan zakat, membuat kebaikan kepada haiwan. Terdapat satu kisah dimana seorang pelacur masuk syurga kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan kerana menggunakan kasutnya. Seorang muslimah pula dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung seekor kucing di dalam rumahnya sampai mati kelaparan. Walaupun dia seorang yang tak pernah meninggalkan solatnya. Lihatlah walaupun berbuat baik kepada haiwan, Allah tetap memberikan syurga walaupun kerana sebab sekecil ini. Ada juga hadith riwayat imam bukhari menyatakan mesti berbuat baik kepada semua makhluk walaupun haiwan.

Apakah ciri-ciri yg ada di dalam syurga menurut al Quran? Saya pasti semua kat sini mesti nak tahu. Pertama sekali adik-adik yang dirahmati Allah, syurga ini mempunyai buah-buahan yang tidak akan habis walaupun dipetik setiap hari. di dalam surah al Waqiah Allah ada menyebut buah pisang sebagai buah yang tersusun di dalam syurga, langit yang terbentang sangat luas. Bidadari-bidadari yang menanti kepada para penghuni syurga lelaki, khabarnya mereka mempunyai mata jeli, dan cantiknya tidak boleh ditandingi oleh wanita yang paling cantik sekali diatas dunia ini. Habis tu macam mana dengan  perempuan? Tak acilah lelaki dapat bidadari. Perempuan dapat apa? Jangan risau adik-adik, untuk perempuan pun ada bidadarinya. Bidadari untuk perempuan dipanggil Wildan. Serupa dengan bidadari-bidadari cuma jantinanya sudah tentu lelaki. Tiada perasaan cemburu di sana nanti. Di sana nanti kita boleh minum sungai dari 3 jenis iaitu sungai arak, sungai susu dan sungai madu. Apa! Sungai arak!? Boleh ke? Eh, jangan lupa, kan kita berada kat syurga, mestilah boleh buat apa je yang kita suka.

Air yang dihidang menggunakan piala-piala emas. Di sana takde rasa penat, takde rasa nak buang air, takde peluh. Udaranya sangat nyaman. Sana adalah tempat berehat yang paling abadi. Kita akan berbaring-baring kat atas tilam sofa dengan tikar diperbuat daripada permata, emas dan perak. Di sana makanan yang kita makan sangat sedap, bila berulang-ulang kali kesedapannya semakin bertambah. Sangat berbeza kat dunia ni. Sebagai contoh, kita makan nasi beriani. Cuba makan hari-hari. Hari pertamanya rasanya sangat sedap, hari kedua sedap, hari ketiga kurang sedap, hari keempat dan seterusnya dah jadi tak sedap. Lain kalau kat syurga, dia terbalik. Kalau makan hari ni sedap, esok lagi sedap, lusa lagiii sedap, hari-hari makin lama makin sedap. Kalau istilah engineering saya panggil infiniti. Takde had kesedapannya.

Jadi macam mana nak masuk syurga kalau orang yang selalu buat dosa. sempat lagi ke kalau nak bertaubat? Sebenarnya pintu taubat sentiasa terbuka selagi nyawa kita belum ditarik, belum sampai kat kerongkong lagi, kita masih sempat. Ada satu kisah seorang pembunuh. Dia dah bunuh 99 orang yg tak berdosa. Dia kemudiannya nak bertaubat, dia berjumpa dengan seorang ulama yang abid. Abid maksudnya kuat beribadah. Abid ni berkata " Dosa kau terlalu besar, kau tak layak untuk bertaubat, nerakalah tempat yang layak untuk engkau". Maka dibunuhlah abid ni. Jadi lengkaplah 100 orang yang dah dibunuh.Selepas itu, orang ni berjumpa pula dengan ulama yg alim. Alim ni maksudnya banyak ilmu. Maka dia pun bertanya. Ulama alim menjawab " Sesungguhnya sebesar mana pun dosa engkau. Engkau masih lagi boleh bertaubat selagi nyawa engkau tak sampai di kerongkong dan engkau mesti pergi ke tempat A ini (maaf, sudah lupa nama tempat tu) untuk memohon taubat" Maka dengan lajunya merempitlah si pembunuh ni dengan kudanya  menuju ke tempat A. Di dalam perjalanan, si pembunuh ni mati kemalangan kerana terjatuh dari kudanya. Maka datanglah kedua malaikat, kedua-duanya bergaduh. Seorang nak letakkan dia ke neraka, seorang lagi nak letakkan dia ke syurga. Maka mereka pun bertanya kepada malaikat Jibril. " Bagaimana wahai Jibril, ke mana nak letak orang ni?". Maka malaikat Jibril menyuruh kedua-dua malaikat ni untuk mengukur jarak di antara tempat pembunuh ni mati ke tempat A dan di antara tempat pembunuh ni mati dengan tempat berjumpa ulama alim tadi. Di dapati jarak ke tempat bertaubat itu lagi dekat dan tempat dia berjumpa ulama alim tadi lebih jauh. Maka masuklah  pembunuh ini ke dalam syurga.

Alhamdulliah, Allah nak menunjukkan kepada kita bahawa sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang segera bertaubat.

No comments:

Post a Comment