Thursday, May 23, 2013

Tak boleh bersolat dengan selesa

Suatu pagi di sebuah sekolah rendah Islam di kawasan Klang. Kereta yang aku pandu  menyusur ke simpang menuju ke pintu pagar. Namun, berpuluh-puluh kereta tersusun di hadapanku menunggu giliran untuk masuk ke pintu pagar itu. Sehinggakan aku tak boleh meletakkan keretaku di dalam kawasan sekolah akibat kesesakan lalu lintas. Maklumlah, kawasan sekolah yang terhad untuk menurunkan semua 500 orang murid oleh ibu-bapa masing-masing. Berjalan mengiringi isteriku yang mengajar di dalam sekolah ini, aku melintas masuk lalu mengucapkan secara berseloroh "Selamat pagi ustaz" kepada pengawal keselamatan yang berkopiah itu. Sampai sahaja di kantin, kami berdua melabuhkan punggung di atas bangku. Semua meja hampir penuh dengan guru-guru dan ibu bapa yang menemani anak masing-masing untuk bersarapan. Kecur air liurku sambil perut berkeroncong melihat nasi goreng berlauk bergedil terhidang di atas mejaku. Lantas aku terus menyuap nasi masuk ke dalam mulutku. Belum sempat aku kunyah nasi goreng tersebut isteriku menegur "Abang! Dah baca doa ke belum?", Aku meletakkan kembali nasi goreng tersebut ke dalam pinggan sambil mengeleng-gelengkan kepala. "Belum" ujarku sambil menadah tangan lalu membaca doa. Aku meneruskan dengan makan perlahan-lahan. Malu bercampur ego ditegur isteriku.

Usai sahaja sarapan. Aku menemani isteriku ke bilik guru. Selepas isteriku mencium tanganku, aku terus menuju ke arah motosikalku yang letakkan di bawah bumbung atap asbestos bentuk empat segi. Pemegang tangan kupulas habis dan motosikalku membelah angin menuju ke pintu pagar luar. Tepat-tepat aku sebagai orang terakhir yang bakal keluar ke pintu tersebut, pengawal keselamatan berkopiah tadi sedang mengheret pagar beroda tersebut untuk menutupnya. Aku dihentikan pengawal keselamatan yang berumur separuh abad tadi.

Ketika itulah aku mematikan enjin motosikalku. Pak Morad memberitahu "Alhamdulillah, saya dah dapat duit bantuan kerajaan persekutuan RM500 dari pejabat LHDN bahagian Klang". Aku membalas "Baguslah kalau macam tu". Tiba-tiba di menghulurkan salam sambil berkata "Mualim, nak salam kejap". Aku bertanya "Kenapa tiba-tiba nak bersalam  ni Pak Morad?". Pak Morad dengan berseloroh "Salamlah dulu mualim, dapat hapus dosa". "Apalah lawak Pak Morad kali ni?" Detikku di dalam hati.

Pak Morad: Saya terpaksa tinggalkan sekolah ni bulan depan mualim. Saya tak boleh tahan dah dengan rakan sekerja yang tak boleh memahami jiwa saya.

Aku: Kenapa Pak Morad tiba-tiba cakap macam ni?

Pak Morad: Banyak benda saya tak puas hati ni mualim, dah berkali-kali saya tahan. Tapi dah makan hati sampai tahap saya tak boleh tahan dah mualim.

Aku: Tak boleh bincang ke?

Pak Morad: Nak bincang macamana, dah memang tak serasi dah. Nak pergi solat pun tak boleh lebih 10 minit. Badan dah berpeluh melekit kena panas, tak dibenarkan keringkan peluh, mandi dan sabun sebelum bersolat. Apa ni mualim? Kita nama saja sekolah Islam, takkan perkara solat pun tak boleh bertolak ansur keselesaan. Saya ni dah tua dah, jangan biar penyelia arah-arah saya solat tak lebih 10 minit mualim. Saya betul-betul tak tahan kalau nak ajar saya had masa untuk bersolat ni.

Aku: Nak buat macamana Pak Morad. Ujian Allah ni, takkan sebab ni pun nak berhenti?

Pak Morad: Takde mualim, saya betul-betul tak boleh tahan mualim, saya tetap dengan keputusan saya.

Aku: Kalau macam tu, apalah yang boleh saya buat Pak Morad. Saya pun betul-betul simpati. Eh, saya dah lambat ni. Saya ada temujanji dengan doktor klinik. Maafkan saya. Assalamualaikum.

Pak Morad: Waalaikumsalam.


No comments:

Post a Comment